PELANTIKAN YBHG. DATUK (DR.) AMINAR RASHID SEBAGAI PENGERUSI AHLI LEMBAGA PENGARAH MARii

CYBERJAYA, 14 JANUARI 2025 – Institut Automotif, Robotik dan IoT Malaysia (MARii) dengan sukacitanya mengumumkan pelantikan YBhg. Datuk (Dr.) Aminar Rashid sebagai Pengerusi Ahli Lembaga Pengarah MARii untuk tempoh dua tahun, berkuatkuasa 6 Januari 2025 sehingga 5 Januari 2027.

Pelantikan ini adalah pengiktirafan terhadap pengalaman luas dan kepimpinan strategik YBhg. Datuk (Dr.) Aminar Rashid dalam sektor automotif dan teknologi negara. Beliau sebelum ini pernah berkhidmat sebagai Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perusahaan Otomobil Kedua Sdn Bhd (Perodua) dari tahun 2013 hingga 2018. Selain itu, beliau turut memainkan peranan penting dalam pelbagai jawatan strategik di UMW Toyota Motor Sdn Bhd, termasuk sebagai Pengarah Eksekutif Kumpulan Perancangan Strategik.

Ketua Pegawai Eksekutif MARii, Azrul Reza Aziz, mengulas “Pelantikan YBhg. Datuk (Dr.) Aminar Rashid sebagai Pengerusi Ahli Lembaga Pengarah MARii adalah langkah penting dalam perjalanan kami untuk memacu transformasi industri automotif di Malaysia. Dengan kepimpinan beliau yang strategik dan pengalaman yang luas, kami yakin beliau
mampu membawa MARii untuk mencapai aspirasi negara ke arah penerapan teknologi tinggi dan inovasi.”

Dalam pada itu, YBhg. Datuk (Dr.) Aminar Rashid turut menyatakan komitmennya terhadap tanggungjawab ini. “Saya amat berbesar hati menerima amanah sebagai Pengerusi Ahli Lembaga Pengarah MARii. Saya percaya dengan usaha bersama seluruh pasukan MARii, kita mampu merealisasikan potensi penuh sektor automotif dan teknologi Malaysia, bukan sahaja untuk manfaat industri tetapi juga untuk meningkatkan daya saing negara di peringkat global,” katanya.

MARii juga ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada Pengerusi Interim YBhg. Dato’ Hairil Yahri Yaacob, atas sumbangan dan kepimpina cemerlang beliau dalam mengemudi MARii sepanjang tempoh peralihan ini. Kepimpinan beliau telah menjadi asas kukuh untuk memastikan kesinambungan dan kejayaan organisasi sekali gus menyokong visi MARii dalam mendepani cabaran industri automotif.

Dengan latar belakang yang kukuh dalam pembangunan sektor automotif, pengurusan koporat serta inovasi teknologi, pelantikan ini dijangka akan memperkukuhkan lagi usaha MARii dalam memacu perkembangan industri automotif. Langkah ini juga seiring dengan objektif MARii untuk menyokong pembangunan strategik negara dalam teknologi tinggi.

Pihak MARii ingin mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada YBhg. Datuk (Dr.) Aminar Rashid atas pelantikan ini dan yakin bahawa kepimpinan beliau akan membawa MARii ke tahap yang lebih tinggi, seterusnya memberi manfaat besar kepada industri automotif dan teknologi tempatan serta antarabangsa.