KUALA LUMPUR, 14 November 2025 — Penganjuran Penang Autoshow 2026 dan Johor Autoshow 2026 diumumkan hari ini, sebagai langkah untuk memperluas rangkaian Malaysia Autoshow dalam usaha membawa teknologi automotif terkini kepada lebih banyak wilayah di seluruh Malaysia.
Penang Autoshow 2026 dijadualkan berlangsung pada 1 hingga 3 Mei 2026, diikuti oleh Johor Autoshow 2026 pada Ogos 2026. Edisi di peringkat negeri ini akan menghimpunkan pengeluar kenderaan, penyedia teknologi dan penyelesaian mobiliti secara langsung kepada komuniti tempatan membolehkan rakyat Malaysia di zon utara dan selatan mengalami teknologi automotif terkini, mobiliti elektrik dan inovasi lestari secara dekat.
Pemilihan Pulau Pinang dan Johor sebagai lokasi pelaksanaan pertama adalah berdasarkan kepentingan strategik kedua-dua negeri ini dalam ekosistem automotif negara, termasuk pertumbuhan pesat penggunaan kenderaan tenaga baharu. Formula penganjuran Malaysia Autoshow di MAEPS akan diterjemahkan ke peringkat negeri dengan skala, kualiti serta pengalaman yang sama, bersesuaian dengan keperluan dan minat masyarakat setempat.
Pulau Pinang yang lama dikenali sebagai pusat pembuatan dan teknologi termaju, dan kini semakin dikenali sebagai hab mobiliti lestari serta penggunaan kenderaan elektrik. Johor pula, sebagai pusat industri dan logistik serantau yang menghubungkan pasaran ASEAN, menawarkan peluang besar bagi pembangunan automotif, kerjasama rentas sempadan dan pertumbuhan industri masa hadapan.
“Tahun 2026 menandakan fasa penting bagi industri automotif negara. Walaupun Malaysia Autoshow memberi laluan kepada Persatuan Automotif Malaysia (MAA) untuk menganjurkan KLIMS 2026 di Kuala Lumpur, komitmen MARii untuk membawa teknologi dan inovasi automotif terkini kepada rakyat Malaysia tidak akan terhenti di satu lokasi atau satu acara sahaja.”
“Penganjuran Penang Autoshow dan Johor Autoshow 2026 adalah lanjutan kepada misi Malaysia Autoshow bagi memastikan rakyat di setiap wilayah mendapat akses kepada teknologi kenderaan generasi baharu, mobiliti elektrik dan inovasi lestari. Dengan pendekatan ini, kita bukan sahaja memperluas capaian, tetapi juga memperkukuh pembangunan ekosistem automotif nasional secara lebih inklusif selaras dengan Dasar Automotif Nasional 2020.” Kata En. Azrul Reza Aziz, Ketua Pegawai Eksekutif MARii.
Pengumuman ini dibuat semasa Majlis Pelancaran (Soft Launch) Penang Autoshow & Johor Autoshow di Global Automotive & Technology Expo (GATE) 2025, yang berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur.
Edisi Penang dan Johor Autoshow 2026 bakal menampilkan jenama automotif utama yang akan mempamerkan model terkini mereka, termasuk inovasi dalam mobiliti elektrik, sistem keselamatan pintar serta teknologi reka bentuk baharu yang mendapat perhatian semakin tinggi daripada pengguna Malaysia.
Antara aktiviti menarik termasuk laluan pandu uji, perhimpunan kelab kereta, pertunjukan fesyen bertema automotif serta pelbagai pameran interaktif. Aktiviti tambahan akan diumumkan dari semasa ke semasa menjelang tarikh penganjuran rasmi.
Malaysia Autoshow 2025 telah mencatat rekod baharu ASEAN sebagai edisi terbesar dan paling berjaya setakat ini, menarik hampir 300,000 pengunjung dan menjana potensi jualan sebanyak RM1.72 bilion. Acara tersebut menampilkan lebih daripada 200 pempamer dan 500 model kenderaan, termasuk barisan kuat kenderaan elektrik dan hibrid — mencerminkan kekuatan serta kesediaan Malaysia dalam ekosistem mobiliti.